Amanah

Amanah adalah satu tanggungjawab yang wujud apabila seseorang individu atau sebarang entiti  (yang dikenali sebagai pembuat amanah) memindahkan hak pemilikan asetnya secara sah kepada mana-mana individu atau institusi (dikenali sebagai pemegang amanah) untuk memegang harta tersebut bukan untuk manfaat dirinya tetapi untuk manfaat dan kepentingan benefisiari samada ia individu atau sebaliknya.

Pemegang Amanah menjadi pemilik yang sah bagi aset amanah apabila aset tersebut dipindahkan kepada mereka. Manakala benefisiari akan menjadi pemilik manfaat bagi aset amanah tersebut.  Pemegang Amanah akan menguruskan harta yang diamanahkan berdasarkan arahan serta syarat yang telah ditetapkan.

Secara ringkasnya, amanah adalah hak ke atas harta, samada harta tak alih atau sebaliknya, yang di pegang oleh satu pihak untuk kepentingan pihak yang lain.

Menurut Islam Amanah dikenali sebagai Al-Amanah

Berikut adalah peruntukkan Al Quran yang menekankan kepentingan amanah :

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرً۬ا (٥٨)


Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58)

Surah an-Nisa ayat 58


وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٲلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُڪَّامِ لِتَأۡڪُلُواْ فَرِيقً۬ا مِّنۡ أَمۡوَٲلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١٨٨)


Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang bathil dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (188)

Surah al-Baqarah ayat 188

BENTUK-BENTUK AMANAH

Amanah boleh wujud dalam salah satu daripada tiga bentuk, dinamakan :

AmanaH
wasiat

iaitu amanah yang dibina di dalam Wasiat dan ia akan berkuatkuasa selepas kematian pembuat Wasiat dan tertakluk kepada undang-undang perwarisan Islam.

amanah
statutori

iaitu amanah yang dibina secara automatik oleh undang-undang. Contoh bagi Amanah Statutori ialah jika simati meninggal dunia dan mempunyai benefisiari yang belum dewasa samada dia membuat Wasiat atau tiada Wasiat.

amanah
hayat

iaitu amanah yang dibina oleh Pembuat Amanah ketika hidup dan ia berkuatkuasa segera apabila ikatan amanah ditandatangani oleh pembuatnya dan harta di serahkan kepada Pemegang Amanah.